Refleksi
Semester
ke empat tahun 2013, saya perlu mengambil kursus SSI3013, iaitu Information And
Communication Tecknology In Science (Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sains).
Kursus ini membincangkan rasional dan kelebihan aplikasi ICT dalam pendidikan
sains. Bagi melengkapkan kursus ini, saya dikehendaki menyiapkan 5 tugasan
iaitu :
1.
Essei – Cabaran di dalam penggunaan ICT di dalam Pengajaran dan Pembelajaran di
Sekolah.
2.
Data loging
3.
Simulasi
4.
E-portfolio
5.
Membuat blog
Pensyarah
untuk kursus ini ialah Encik Azmi bin Ibrahim. Pertemuan pertama saya dengan
beliau, tidak kesampaian kerana masalah teknikal tentang jadual tutorial. Untuk
pertemuan kedua juga mengalami kegagalan kerana saya mengalami kemalangan
kereta di lebuh raya semasa perjalanan ke UPSI. Oleh kerana tiada pertemuan
bersemuka lansung, hanya berpandukan nota pensyarah sahaja, maka agak sukar
juga untuk saya menyiapkan tugasan yang diberi. Alhamdullah berkat kesabaran,
sokongan keluarga, tunjuk ajar kawan-kawan dan dengan izin Allah Taala, semua
tugasan dapat disiapkan sebaik mungkin.
Hasil
pencarian dan bacaan untuk menyiapkan tugasan 1, banyak ilmu pengetahuan yang
dapat saya perolehi. Sebagai seorang guru, saya perlu mengambil iktibar untuk
mengubah diri, mengikut arus perubahan zaman, di mana sistem pengajaran dan
pembelajaran kita telah berubah. Corak pendidikan sekarang tidak boleh lagi
lari daripada penggunaan ICT. Memperkasakan ICT dalam pendidikan, sudah menjadi
satu tanggungjawab para pendidik, selaras dengan misi Kementerian Pendidikan
Malaysia. Segala kekangan yang menghalang penggunaan ICT dalam proses
pengajaran dan pembelajaran perlu dielak dan dijauhi. Tugasan ini juga telah
memaparkan banyak cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan penggunaan ICT, oleh
itu kita perlu mengambil inisiatif untuk meminimumkan segala cabaran tersebut.
Daripada
nota pensyarah dan pencarian melalui internet, saya telah didedahkan tentang
data loging. Secara jujurnya, sebelum ini saya tidak tahu lansung tentang data
loging. Apa yang saya faham tentang data loging ialah , sejenis alat elektronik
yang dapat merekodkan pengukuran (suhu, jisim, masa, ph dan lain-lain lagi),
serta dapat memindahkan bacaan tersebut ke komputer. Komputer, kemudian akan
mentafsir dan menganalisa data itu, yang mana akan diterjemahkan dalam bentuk
jadual, graf, carta dan disimpan. Untuk tugasan ini saya dikehendaki memilih
satu eksperimen yang berkaitan dengan sains yang boleh mengaplikasikan
penggunaan data loging. Kaedah yang disyorkan oleh pensyarah ialah Engagement,
Empower dan Enhance. Sekolah saya tiada aliran sains, oleh itu alat-alat
elektronik moden sukar di dapati. Pada pandangan saya, penggunaan data loging
di sekolah masih belum meluas. Untuk melaksanakan eksperimen, yang mengambarkan
penggunaan data loging, saya menghadapi kesukaran. Saya hanya mampu membuat
eksperimen yang ringkas, menggunakan neraca elektronik. Walau bagaimanapun,
daripada tugasan ini saya banyak mendapat maklumat seperti, penggunaan data
loging sudah lama digunakan oleh syarikat Indah Water, Jabatan Tanah dan Galian
dan lain-lain lagi. Saya juga menyedari bahawa penggunaan data loging ini
memberi banyak kebaikan seperti membuatkan pelajar lebih faham dan berminat,
keputusan yang diperolehi lebih tepat, boleh dilakukan di mana-mana dalam
jangka masa yang lama dan lain-lain lagi. Penggunaan data loging ini adalah
salah satu cabang memperkasakan penggunaan ICT di sekolah. Harapan saya satu
hari nanti dapat mengaplikasikan penggunaan data loging di sekolah.
Kursus
SSI3013 telah memberi pendedahan tentang perisian Stella. Stella merupakan
perisian yang kita gunakan untuk menjalankan eksperimen. Ia memudahkan saya
untuk menjalankan eksperimen, di mana hanya perlu untuk memanipulasikan
parameter yang digunakan. Hasil simulasi ini akan menjadikan bahan pengajaran
kita lebih menarik dan teruja. Pelajar juga dapat melihat perubahan yang
berlaku dengan jelas, hasil daripada manipulasi parameter, yang ditunjukkan
oleh graf yang terhasil. Ini akan meningkatkan lagi minat dan kefahaman pelajar
terhadap pengajaran tersebut. Pembelajaran ini telah memberi saya pengalaman
baru, tentang perisian komputer yang dapat menghasilkan bahan yang menarik
untuk proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Saya
juga belajar tentang E-portfolio, yang merupakan koleksi bahan tersusun tentang
perkembangan pengetahuan dan kemahiran seseorang. Saya perlu membuat satu
E-portfolio tentang diri sendiri yang kemudian dimasukkan dalam blog. Dalam
E-portfolio perlu ada maklumat peribadi, sijil, falsafah, tugasan , refleksi
dan lain-lain lagi. Ini adalah E-portfolio pertama saya, yang mana terdedah untuk
tatapan umum, yang merupakan satu pengalaman baru. Penghasilan E-portfolio ini,
telah meningkatkan pengetahuan saya tentang ICT, kerana perlu membuat peneroka
untuk mendapatkan maklumat bagi melengkapkan tugasan ini. Saya berharap
E-portfolio ini dapat memberi manfaat kepada pembacanya.
Tugasan
akhir saya untuk kursus SSI3013 ialah membuat blog sendiri. Tugasan ini
mengambil masa yang paling lama dan memerlukan bantuan daripada pelajar-pelajar
senior. Membuat blog agak sukar kerana ianya perkara baru yang belum pernah
diterokai serta kemahiran ICT diri yang rendah. Walaupun proses membuat blog
ada dalam internet, tetapi ianya memerlukan bantuan rakan-rakan bagi
menunjukkan langkah-langkah turutan yang betul. Untuk mencantikkan blog, kita
perlukan pandai memilih warna yang sesuai, latar belakang yang menarik, aturan
bahan-bahan yang kemas dan rapi serta kemahiran ICT yang tinggi. Pada fahaman
saya, blog merupakan media untuk menyampaikan maklumat sama ada bersifat
peribadi seperti catatan harian, hasil tugasan, kerja-kerja projek ataupun
mempromosikan iklan barangan dan lain-lain lagi. Blog juga berfungsi sebagai
tempat orang ramai meluahkan perasaan atau menulis pengalaman mereka serta
media komunikasi antara pengguna internet lain. Penghasilan blog ini telah
berjaya mempertingkatkan tahap kemahiran IT dalam diri sendiri.
Sejajar
dengan perkembangan ITC yang semakin canggih, kemungkinan penggunaan blog dalam
proses pengajaran dan pembelajaran dapat diperkenalkan. Blog boleh dijadikan
sebagai batu loncatan untuk menyebarkan ilmu dan maklumat dengan cepat serta
dapat menjadi perantaraan komunikasi dan interaksi dua hala dengan pengguna
lain. Ianya merupakan media untuk memudahkan perkongsian ilmu, idea dan
informasi dengan mudah dan pantas. Walaupun penghasilan blog tiada had dan
percuma, tetapi penggunaannya perlukan kawalan supaya tidak timbul
penyalahgunaan untuk menyebarkan maklumat palsu.
Secara
keseluruhannya kursus SSI3013 ini, telah berjaya membantu saya dalam
meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang ICT yang sedia ada. Saya berharap
segala ilmu yang dipelajari ini dapat diaplikasi dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Ini semua penting ke arah meningkatkan lagi mutu bahan
dan proses pengajaran untuk menarik minat pelajar dan memberi kefahaman tentang
subjek tersebut. Selain daripada itu, terdapat banyak pengetahuan lain seperti
Sekolah Bestari dan etika penggunaan bahan-bahan dalam internet diperolehi.
Sesuatu
yang baru, jika ingin diperkenalkan sememangnya akan menghadapi pelbagai
cabaran. Begitu juga dengan
kaedah-kaedah pengajaran dalam subjek SSI, jika ingin diaplikasi di
sekolah, pasti akan menghadapi cabaran seperti keupayaan kewangan sekolah untuk
mendapatkan alat-alat ICT ini. Tahap kesediaan guru, dari segi kebolehan dan
kecekapan untuk mengendali dan mengeksploitasi penggunaan alatan atau program
baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tahap kesediaan pelajar juga
tidak boleh diabaikan, kerana mereka adalah pihak yang akan menerima kesan
daripada perubahan yang dibuat. Pelajar dari luar bandar selalunya kurang celik
IT, ini akan memberi kesan yang kurang baik terhadap pembelajaran mereka kerana
tidak mencapai tahap kebolehan IT yang dikehendaki untuk mengikut pembelajaran
tersebut. Walaubagaimanapun, jika semua pihak yang terlibat bekerjasama dan
bersatu hati, ingin berubah dan menerima perubahan demi masa depan
pelajar-pelajar, perkara tersebut bukan mustahil. Ianya akan dapat diaplikasi,
demi kemajuan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah selaras dengan
perubahan zaman.
Akhir
kata, saya sedar bahawa pengalaman yang diperolehi melalui semua tugasan yang
diberikan adalah sangat bernilai untuk menjadikan kita orang yang berilmu,
lebih dewasa dan matang. Terima kasih banyak-banyak kepada pensyarah,
Encik Azmi yang membimbing mengharungi
kursus ini, rakan-rakan, keluarga dan
semua pihak yang membantu. Akhir sekali, syukur ke hadrat Allah Taala dengan
limpah kurniaNya memberi kesihatan yang baik dan memberi keizinan untuk saya
menyelesaikan segala tugasan yang diberi.Wassalam.
No comments:
Post a Comment